Friday 6 January 2012

"Ustaz, saya rasa kosong sangat jiwa ni. Rasa tak tenang. Apa perlu saya buat?" "Bacalah al-Quran" "Ustaz, saya susah nak tidur la malam-malam. Apa perlu saya buat?" "Bacalah al-Quran" "Ustaz, macam mana mahu tajamkan akal anak saya? Dia bakal SPM tahun ni" "Suruhlah dia baca al-Quran banyak-banyak" "Sikit-sikit baca Quran. Sikit-sikit baca Quran. Dah baca dekat 10 tahun ni, tak selesai pun masalah. Tak rasa tenang pun. Tak dapat tidur pun. Tak jadi pandai pun. Apa la ustaz ni, tak boleh pakai punya nasihat la!" Ini keluhan orang yang tak tahu. Tapi sebagai manusia, saya tidak salahkan dia kerana seringkali ustaz menyuruh orang awam membaca dan mengambil manfaat dari al-Quran, tapi jarang pula ustaz berbicara tentang cara-cara dan syarat-syarat untuk mengambil manfaat dari al-Quran itu. Maka, izinkan saya yang bukan ustaz untuk berkongsi tips-tips dan kaedah mengambil manfaat al-Quran. Ada 4 syarat utama harus kita turuti.
Pertama: Beradab Dengan Al-Quran Ini syarat pertama dan juga yang paling utama. Akhlak. Banyak sekali adab yang telah kita lupakan. Antara yang besar-besar ialah seperti berwuduk, mengadab kiblat dan lain-lain. Itu secara zahir. Saya tidak berhajat menyentuh panjang kerana saya mahu menumpukan kepada adab yang tidak zahir. Pertama, kita harus memulai bacaan dengan niat yang baik-baik. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 124 dan 125 ; Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir. Mahu bermain-main dengan ayat Allah? Itu tanda kekafiran. Ada orang, membaca Al-Quran untuk mencari kesalah Al-Quran. Ada juga manusia yang membaca untuk mengabil hujjah bagi menghentam manusia. Ada juga yang membaca dengan niat saja-saja. Maka, perumpamaan mereka adalah seperti orang munafik, yang tidak mendapat apa-apa manfaatpun dari al-Quran. Itu yang pertama. Perkara kedua yang kerap dilupakan ialah kebersihan. Bukan sekadar jasad, bahkan kebersihan hati itu lebih utama. "Kebersihan itu sebahagian daripada iman"-Hadis Arbain "Allah mencintai orang-orang yang bersih"- At-Taubah ayat 108 "Dan bersihkanlah pakainmu"- Al-Mudassir ayat 4 Kebersihan hati? Betulkan niat. Membaca kerana Allah sayang, bukan kerana mahukan habuan, pujian atau kemuliaan di sisi manusia. Adab yang ketiga ialah serius dan tidak bermain-main. Amaran keras Allah nyatakan dalam surah al-Anbiya' ayat 2 ; "..mereka mendengarkannya sambil bermain-main..". Sebaliknya, kita dituntut untuk memberi perhatian terhadap apa yang kita baca. Contohilah Saidina Umar, teresak-esak dia menangis. Persis seorang kanak-kanak sedangkan dia seorang yang pejuang! Menangis dia membaca surah Yusuf, tanda hatinya khusyuk dan faham. Kedua: Penerimaan Yang Baik Yang dimaksudkan dengan penerimaan ialah menerima pengajaran yang terkandung di dalamnya. Caranya ialah dengan 'dengar' dan 'taat'. Satu hari, Rasulallah menyuruh Ibnu Mas'ud membacakan al-Quran untuk didengari oleh Baginda. Ibnu Mas'ud patuh lalu dia membaca hinggalah tiba kepada ayat "Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?". Lalu, menagislah Rasulallah. Ini bukti, jika hati kita benar-benar khusyuk membaca al-Quran, pasti akan tumpah air mata ini. Selain itu, kita juga 'menerima' dengan berniat untuk melaksanakan segala perintah yang terkandung sedaya upaya kita. Usahakan! Pasti Allah mudahkan. Ketiga: Memahami Tujuan Asas Al-Quran Apakah tujuan al-Quran diturunkan? Hiasan khat? Pelaris perniagaan? Tujuan perubatan? Semua itu boleh jadi ya, tapi nyata semua itu bukan tujuan asas Allah turunkan al-Quran. Allah turunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada kita. Al-Quran menggariskan panduan untuk membentuk peribadi muslim. Maka, seharusnya kita menjadi the walking Quran iaitu orang yang berakhlak dengan apa yang ada dalam al-Quran. Keempat: Mengikuti Cara Sahabat r.anhum Bergaul Dengan Al-Quran Ada sebuah hadis dari Abu Said al-Khudri- Janganlah kalian mencela sahabatku. Jika ada salah seorang dari kalian membelanjakan harta sebesar gunung Uhud, necsaya ia tidak akan menyamai secupak yang mereka belanjakan, bahkan setengah cupak juga- riwayat Bukhari dan Muslim Apa yang membuatkan para sahabat Rasulallah ini tersangat istimewa? Adakah kerana mereka ada unta? Tidak! Adakah kerana mereka orang arab? Tidak! Atau, adakah kerana mereka tinggal di zaman tiada internet, TV dan teknologi? Tidak! Mereka mulia kerana cara mereka bergaul dengan al-Quran. Para sahabat beriman dengan kesuluruhan isi al-Quran. Tiada istilah 'tak apa' dan tiada istilah 'tapi'. Mereka tidak cerdik untuk membuat alasan bagi mengelak (kecuali orang munafik) kerana mereka sangat cerdik untuk faham bahawa al-Quran ini adalah diturunkan kepada kita, manusia. Ada seorang sahabat bernama Tsabit bin Qais r.a yang bersedih dengan turunnya ayat 49:2 iaitu berkenaan larangan meninggikan suara kepada Nabi. Tsabit bin Qais r.a sememangnya seorang yang beruara kuat. Lalu, dia terasa seolah-olah ayat ini turun kepadanya. Kerana itu, dia tidak lagi hadir ke dalam majlis ilmu kerana bimbang akan suaranya yang kuat itu. Hal ini diketahui oleh Rasulallah, lalu Rasulallah menyuruh sahabat memberi tahu Tsabit, bahawa ayat ini bukan ditujukan kepadanya. Dalam tafsir Ibnu Khatsir ada diceritakan. Jelas, para sahabat apabila membaca al-Quran, mereka merasakan bahawa setiap ayat itu adalah untuk mereka. Kerana itu, mereka bersedia untuk melaksanakan perintah Allah. Para sahabat yang tidak berdosa, apabila membaca berita tentang kiamat dan neraka, mereka menangis. Sedangkan mereka tidak melakukan dosa. Kita yang saban hari berdosa, boleh tersenyum-senyum ketika membaca ayat tentang neraka. Kita tak rasakah, bahawa ayat itu Allah tujukan kepada kita? Kesimpulan Ada 4 perkara dalam Al-Quran. Pengajaran, penyembuh, petunjuk dan rahmat. Ini disebutkan dalam surah Yunus ayat 57. Maka, jangan ragu-ragu dengan kemukjizatan al-Quran. Ia benar-benar penyembuh 'luka hati'. Sebaliknya, kita tanya diri kita, adakah selama ini kita cukup beradab untuk mengambil manfaat al-Quran? Maka, marilah mengambil manfaat al-Quran. Selamat beramal, dan silalah panjang-panjangkan kepada sahabat-sahabat yang selama ini masih 'tercari-cari' sebab mengapa dia belum bertemu solusi dari al-Quran.

Thursday 5 January 2012

Sahabatku,Terlalu banyak ni'mat yang Allah SWT kurniakan kepada kita dalam kehidupan kita selama ini. Bagaimana kita akan menghitungnya. Setiap detik kita bernafas, setiap saat jantung berdenyut, setiap detik mata berkelip. Tak termampu kita menghitung ni'mat yang di beri. Syukur ke hadrat Allah SWT yang melimpah segala ni'mat hidup lebih-lebih lagi menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang telah di beri ni'mat Islam dan Iman. Justru itu Allah SWT berseru kepada kita berulangkali sebanyak 31 kali dalam Surah Ar-Rahman: "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan".
Antara ni'mat yang di beri ialah sepasang kaki buat kita berjalan kesana sini buat mencari rezeki Allah di bumi yang luas ini. Besarnya ni'mat mempunyai sepasang kaki. Tanpanya tiada upaya kita untuk bergerak bebas melakukan kerja seharian.Sahabatku,Kemanakah seharian kaki ku kaki mu melangkah pergi? Adakah kaki ku kaki mu rajin benar melangkah ke tempat-tempat maksiat dan tempat-tempat hiburan yang melalaikan buat melampias nafsu serakah dan menghabiskan usia yang memang singkat ini.Atau kaki ku kaki mu ligat pula berkunjung ke tempat-tempat perjudian buat mencuba nasib manalah tahu ingin cepat kaya dengan jalan yang mudah dan haram.Kalau begitu langkah kaki ku kaki mu, celakalah kita. Kaki ku kaki mu akan menjadi saksi kerana melangkah ke tempat yang menjadi kemarahan Allah SWT.Sahabatku,Mengapa kita kufur ni'mat? Alangkah baiknya kalau kaki ku kaki mu di hayun ke masjid-masjid, majlis-majlis ilmu dan tempat-tempat kebajikan buat menyebarkan ilmu dan mengisi dada kita dengan ilmu dan iman.Rajin-rajinlah kaki ku kaki mu melangkah ke rumah saudara-mara, orang-orang tua yang uzur buat menghubungi siratulrahim. Atau pun menziarahi saudaramu yang telah menjadi jenazah jadi iktibar buat mu bahawa kematian semakin hampir. Ringan-ringankan lah kaki ku kaki mu melangkah ke rumah anak-anak yatim. Jenguk-jenguklah ke rumah anak-anak istimewa yang dambakan kasih sayang ibu ayah. Hulurkan tanganmu membantu apa yang termampu, wang ringgit atau kudrat mu buat meringankan beban dan kedukaan mereka.Percayalah sahabatku, nanti hati kita jadi lembut dan sebak melihat ada yang punya kaki tapi lumpuh minta di kendong. Ada yang punya kaki, kerusi roda kakinya. Ada yang punya kaki, dua tangan jadi kakinya. Mereka minta di suap, minta di pujuk kerana tak sempurna akalnya. Berilah sumbangan apa yang termampu. Riangkan hati mereka sambil mengusap kepala mereka tanda kasihmu.Syukur Alhamdulillah atas segala ni'mat yang Allah berikan kepada kita yang lengkap sempurna segala sifat anggota dan akal. Bagaimana harus kita mensyukuri segala ni'mat yang di beri?Justru itu, sebelum kaki ku kaki mu melangkah pergi, fikirkan banyak kali kemana kah tujuan mu? Sekiranya langkah kaki ku kaki mu membawa kebaikan teruskan langkahan kaki tetapi jika sebaliknya, batalkan saja niatmu itu.Sahabat ku,Jangan kau hairan dan terkejut nanti di hadapan Allah SWT, lidah kita akan jadi kelu terkunci, tidak dapat berkata-kata lagi. Hanya setiap anggota, termasuk kaki ku kaki mu yang akan menjadi saksi setiap perlakuan diri yang empunya kaki.

Wednesday 4 January 2012


Orang yang sukses memulai langkah mereka dari pola berpikir besar dan positif terhadap apa yang mereka lakukan. Di sini ada sedikit ilmu ingin saya kongsikan buat pembaca blog setia saya.
Adakah kita seorang pemikir kecil ataupun pemikir besar.? Cubalah tanya diri anda sendiri. Ambil ujian ini bagi menetukan saiz pemikiran kita.

Orang yang bijaksana berbicara kerana ada sesuatu yang harus ia katakan, orang bodoh berbicara kerana ia harus mentakan sesuatu”